Biografi Dekan

Arbakariya Bin Ariff (A.B. Ariff) ialah Professor dalam bidang Teknologi Fermentasi dan Kejuruteraan Bioproses di Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia. Beliau dilahirkan pada 9 september 1961. Beliau telah menamatkan pengajian Bacelor Sains dan Teknologi Makanan di Universiti Pertanian Malaysia (pada masa sekarang dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia) pada tahun 1984. Beliau memperoleh M.Phil (Kejuruteraan) dari University of Birmingham, England pada tahun1986 dan mendapat ijazah PhD (Kejuruteraan Bioproses) pada tahun 1993 dari University of Manchester Institute of Science and Technology, England. 

Semenjak tahun 1987, beliau telah terlibat dengan lebih dari 100 projek penyelidikan yang dibiayai oleh pelbagai agensi seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pengajian Tinggi, Land & General Sdn Bhd, NEDO, Japan, PMI2 UK, National Biotechnology Directorate dan UPM. Pada permulaanya, projek penyelidikan beliau adalah berkaitan dengan pembangunan proses biopenghasilan untuk pengeluaran produk bioteknologi menggunakan strain mikrob liar dan rekombinan. Penyelidikan telah dikembangkan dengan penggunaan sel tumbuhan dan mikroalga. Beliau juga telah terlibat dengan penyelidikan diperingkat antarabangsa dan telah membentuk banyak jalinan antarabangsa. Satu daripada jalinan yang telah dibentuk ialah kolaborasi penyelidikan dan Program Pertukaran Saintis antara Malaysia, Jepun, Thailand, Indonesia and the Philippines yang dibiayai oleh Japanese Society for Promotion of Science (JSPS). Beliau juga sangat aktif dalam kerja perundingan dan telah dilantik sebagai Penasihat dan Perunding kepada banyak syarikat bioteknologi untuk membangunkan proses industri untuk penghasilan produk bioteknologi komersil. Dengan amaun geran penyelidikan yang banyak, beliau sangat aktif dalam penyeliaan pelajar sarjana. Sehingga kini, seramai 25 pelajar PhD dan 45 pelajar MSc telah bergraduat dibawah penyeliaan beliau. Beliau telah menerbitkan lebih dari 200 manuskrip dalam jurnal berwasit.

Beliau telah dilantik sebagai Ketua, Laboratori Teknologi Enzim dan Mikrob, Institut Biosains, UPM, pada tahun 2001 dan Ketua, Jabatan Teknologi Bioproses, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul pada tahun 2004. Pada tahun 2009, beliau dilantik sebagai Timbalan Dekan (Academik) dan pada tahun 2016, beliau telah dilantik sebagai Dekan, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul. Beliau juga ialah Ketua, Pusat Penyelidikan Biopemprosesan dan Biopenghasilan di UPM.