Bacelor Sains Mikrobiologi dengan Kepujian

PENGENALAN

Bidang mikrobiologi adalah satu bidang kerjaya yang amat penting yang menyokong kepesatan pelbagai industri di Malaysia. Antara yang terlibat adalah industri pemprosesan dan pembuatan di bidang pemakanan, perubatan, alam sekitar dan pertanian. Peningkatan pengetahuan dalam bidang mikrobiologi adalah penting dalam mencari penyelesaian isu kesihatan terkini seperti wabak denggi, Ebola dan Zika, serta kemunculan bakteria rintang antibiotik.

Strategi Biomas Kebangsaan 2014-2020 telah dilancarkan untuk penghasilan tenaga bio dan bahan dengan nilai tambah dari biomas [Agensi Inovasi Malaysia (2013) National Biomass Strategy 2020: New Wealth Creation for Malaysia’s Biomass Industry]. Aplikasi mikroorganisma dalam pemprosesan sisa pertanian kepada pelbagai bahan berguna dapat mempertingkatkan penjanaan bioekonomi negara. Bidang ini akan terus memainkan peranan besar kepada kemajuan negara didorong oleh peningkatan kegunaan bahan hasilan mikrob dan keperluan ciptaan bahan baharu.

Program Bacelor Sains (Kepujian) Mikrobiologi telah ditawarkan oleh Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul sejak Jun 2004 dan kini dikenali sebagai Program Bacelor Sains dalam Mikrobiologi dengan Kepujian untuk melahirkan graduan yang dapat memenuhi keperluan tenaga mahir negara dalam bidang mikrobiologi samada dalam sektor awam, swasta mahu pun bekerja sendiri.


STRUKTUR KURIKULUM

Struktur Kurikulum ini adalah berdasarkan kepada elemen dan garis panduan yang ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Universiti Putra Malaysia. Pelajar perlu menyempurnakan sekurang-kurangnya 126 kredit termasuk 2 jam kredit kursus kokurikulum untuk bergraduat. Kursus yang ditawarkan dalam program ini dibahagikan kepada tiga (3) komponen utama iaitu Kursus Universiti, Kursus Teras dan Kursus Elektif.

  1. Kursus Universiti
    Kursus yang diperuntukkan (mengikut ketetapan Universiti) bagi memastikan pendidikan yang menyeluruh dapat diberikan kepada pelajar. Sebanyak 25 kredit yang merangkumi sembilan (9) kursus dan 2 kredit kursus kokurikulum perlu diambil oleh pelajar.

  2. Kursus Teras
    
Kursus yang ditetapkan dalam program (68 kredit) untuk mencapai tahap kemahiran yang cukup dalam bidang pengajian mikrobiologi.

  3. Kursus Elektif
    Kursus Elektif (33 kredit) terdiri daripada:

    - 21 kredit dari kursus elektif teras.
    - 6 kredit dari kursus elektif pengurusan dan kemanusiaan.
    - 6 kredit kursus elektif bebas termasuk 3 kredit kursus bahasa global untuk melengkapkan jumlah keseluruhan kredit bergraduat iaitu 126 kredit. 

 

SYARAT-SYARAT KEMASUKAN

  1. Lepasan STPM

    - Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/setaraf dengan mendapat Kepujian dalam Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia atau kepujian Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia Kertas Julai;
    - Lulus Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan sekurang-kurangnya PNGK 2.00 DAN Mendapat sekurang-kurangnya:
       • Gred C (NGMP 2.00) mata pelajaran Pengajian Am; 
       • Gred C (NGMP 2.00) dalam dua (2) mata pelajaran lain.
    - Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1) dalam Malaysian University English Test (MUET)Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1) dalam Malaysian University English Test (MUET)

  2. Lepasan Matrikulasi/Asasi

    - Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/setaraf dengan mendapat Kepujian dalam Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia atau kepujian Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia Kertas Julai;
    - Lulus Matrikulasi KPM/Asasi Sains Pertanian UPM/Asasi Sains UM/Asasi UiTM dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00; 
    - Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1) dalam Malaysian University English Test (MUET).

  3. Lepasan Diploma

    - Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/setaraf dengan mendapat Kepujian dalam Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia atau kepujian Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia Kertas Julai;
    - Memiliki kelulusan Diploma atau kelulusan Memiliki kelulusan Diploma atau kelulusan lain yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan oleh Senat Universiti Awam, atau
    - Lulus peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00 dan mendapat sekurang-kurangnya Gred C (NGMP 2.00) dalam mata pelajaran Pengajian Am; dan Gred C (NGMP 2.00) dalam dua (2) mata pelajaran lain; atau
    - Lulus peperiksaan Matrikulasi tahun 2012 atau sebelumnya dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00;
    - Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1) dalam Malaysian University English Test (MUET)

 

SYARAT KHAS PROGRAM

  1. Lepasan STPM

    - Mendapat sekurang-kurangnya Gred B (NGMP 3.00) pada peringkat STPM dalam mata pelajaran berikut:
       • Kimia; dan
       • Biologi
    - Mendapat sekurang-kurangnya Gred C+ (NGMP 2.33) pada peringkat STPM dalam mata pelajaran berikut:
       • Matematik T / Matematik Lanjutan T

  2. Lepasan Matrikulasi/Asasi

    - Mendapat sekurang-kurangnya Gred B- (2.67) pada peringkat Matrikulasi/Asasi dalam mata pelajaran berikut:
       • Kimia; dan
       • Biologi
    - Mendapat sekurang-kurangnya Gred C+ (2.33) pada peringkat Matrikulasi/Asasi dalam mata pelajaran berikut:
       • Matematik

  3. Lepasan Diploma

    Memiliki Diploma dalam bidang yang sesuai atau kelayakan lain yang diiktiraf oleh Senat UPM.


HASIL PEMBELAJARAN PROGRAM

Setelah mengikuti program ini graduan:

  1. dapat menguasai ilmu dalam disiplin mikrobiologi.
  2. dapat kemahiran teknikal yang mencukupi dalam bidang mikrobiologi serta dapat menguasai kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
  3. boleh berfikir secara kritis, cekap menyelesaikan masalah dan berupaya memberikan perkhidmatan yang berkesan bagi menyokong pembangunan dan perkembangan bioteknologi negara melalui kaedah SCL.
  4. boleh berkomunikasi dengan cekap dan berkesan berupaya bekerja secara berkumpulan melalui kaedah SCL.
  5. boleh mengamalkan akauntabiliti sosial terhadap usaha peningkatan tahap kesejahteraan masyarakat dan Negara.
  6. boleh mengamalkan tahap profesionalisme yang tinggi, berbudaya cemerlang, beretika dan mempunyai sikap yang positif serta dapat menyesuaikan diri dalam persekitaran pekerjaan yang kompetitif.
  7. boleh mengurus dengan cekapnya maklumat secara sistematik dan berkebolehan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran bagi pembelajaran sepanjang hayat.
  8. berupaya mengurus dan mempunyai ciri keusahawanan yang boleh digunakan untuk pengkomersialan biosumber negara.
  9. berkebolehan untuk memimpin, memahami dan berperanan sebagai ketua pasukan.

 

MAKLUMAT KERJAYA DAN LATIHAN INDUSTRI

Graduan program ini mempunyai peluang kerjaya yang luas sama ada dalam sektor awam atau swasta. Graduan boleh meneruskan pengajian ke tahap lebih tinggi sama ada di universiti dalam negara atau luar negara. Di antara peluang pekerjaan meliputi bidang penyelidikan dan pembangunan, pemantauan dan kawalan, pengeluaran dan pemprosesan, pendidikan dan latihan, perkhidmatan teknikal, keusahawanan dan pengurusan. Secara amnya, peluang kerjaya graduan dapat disenaraikan di bawah:

  • Ahli Mikrobiologi

  • Pegawai Sains

  • Pegawai Penyelidik

  • Pegawai Kawalan Kualiti
  • Eksekutif Makmal

 

LATIHAN INDUSTRI

Latihan Industri adalah sebahagian daripada Kursus Teras yang wajib diambil oleh para pelajar.  Jumlah kredit bagi latihan industri adalah 6 kredit. Kursus Latihan Industri akan ditawarkan pada semester akhir (semester 8) selepas pelajar telah melengkapkan kursus Disertasi Bacelor. Ini akan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan kerana pelajar akan dapat mempraktiskan pengetahuan kepada proses kerja di alam kerjaya dengan lebih berkesan. Para pelajar berpeluang untuk membuat latihan industri serta memperluaskan jaringan bersama industri selama 12 minggu.

 

YURAN PENGAJIAN DAN BANTUAN KEWANGAN

Untuk yuran pengajian boleh merujuk disini


PENGIKTIRAFAN PROGRAM

Memenuhi keperluan MQA (Malaysian Qualification Agency) dan Kementerian Pengajian Tinggi. Memenuhi keperluan universiti dan ISO, semakan kurikulum setiap lima (5) tahun.