Teknik Pertanian Mudah Di Rumah | FACULTY OF BIOTECHNOLOGY AND BIOMOLECULAR SCIENCES
» ARTICLE » Teknik Pertanian Mudah di Rumah

Teknik Pertanian Mudah di Rumah

Image result for tut pokok

Amalan pertanian atau berkebun di sekitar rumah bukan sahaja dapat mengisi masa senggang secara bermanfaat, malah dapat memberikan ketenangan yang tersendiri di samping dapat menikmati kepuasan menuai hasil tanaman. Alasan ‘tangan tidak hijau’ atau ‘tangan panas’ tidak lagi boleh diguna pakai dalam dunia moden yang begitu mudah untuk mengakses maklumat dari internet. Cara paling mudah pastinya dengan membeli sahaja pokok di tapak semaian. Tetapi, apabila anda sendiri yang mendidik anak benih dari kecil sehingga membuahkan hasil, nescaya perasaan sayang pada tumbuhan tersebut akan berbenih dengan sendirinya!

Pernahkah anda terfikir bahawa teknik perkebunan kendiri juga sebenarnya boleh menjadi aktiviti yang sangat mengujakan? Selain amalan yang kebiasaannya sudah diketahui khalayak seperti kaedah semaian menggunakan biji benih atau keratan batang, banyak lagi teknik pertanian lain yang mudah dan menarik untuk diaplikasikan di taman atau kebun anda sendiri. Malah, anda sebenarnya yang mampu mentransformasi tanaman tanpa melibatkan modifikasi genetik di makmal penyelidikan.

Kaedah semaian dan pembiakan melalui biji benih lazimnya memerlukan tempoh masa yang panjang, menuntut penjagaan yang lebih rapi, lambat untuk matang dan membesar, serta lebih mudah terdedah kepada serangan penyakit. Perkara-perkara seperti inilah yang menyebabkan golongan yang baru berjinak dengan aktiviti berkebun sebagai hobi mudah untuk berasa bosan dan berputus asa.

Antara teknik yang dapat mengelak masalah tersebut ialah melalui teknik pembiakan secara cantuman, di mana sebahagian dari pokok induk menumpang pada pokok yang telah matang (pokok penanti). Kelebihan menggunakan teknik ini ialah tanaman lebih mudah untuk dibiak, pokok telah matang dah kuat dan dapat mengeluarkan hasil dengan lebih cepat.

Terdapat tiga kaedah cantuman (grafting) iaitu cantuman mata tunas, cantuman baji dan cantuman sanding. Bagi teknik cantuman mata tunas, bahagian mata tunas dari pokok induk dilekatkan pada batang pokok penanti yang telah dikelar. Dalam cantuman baji pula, pangkal pucuk pokok induk dipotong mengikut bentuk V dah dimasukkan ke dalam batang pokok penanti yang telah dibelah dua lebih kurang 2-3 cm. Pucuk tersebut ditutup dengan plastik lutsinar bagi mengekalkan kelembapan.

Kaedah cantuman sanding membolehkan kacukan antara pokok yang mengandungi genetik yang berlainan, atau juga dikenali sebagai pokok kahwin. Melalui teknik ini dua batang pokok yang mempunyai kematangan dan saiz yang hampir sama dipotong sebahagian batangnya, ditemukan pada bahagian tisu kambium dan dilekatnya. Hasil cantuman ini akan membawa dua variasi genetik yang berbeza.

Adakah anda pernah melalui situasi di mana hasil tanaman, terutamanya buah yang disemai melalui kaedah biji benih tidak serupa dengan kualiti hasil dari pokok induk? Perkara ini mungkin disebabkan oleh dua faktor, iaitu faktor pendebungaan atau faktor teknologi pemandulan biji benih bagi tujuan komersil di mana kualiti baik yang ada pada pokok induk tidak diwariskan kepada anak benih.

Kemungkinan ini dapat diatasi melalui kaedah tut/tot (marcotting). Melalui teknik ini, dua kelaran sepanjang 3-5 cm dibuat mengelilingi batang pokok yang  matang, dan tisu kambium dikikis di antara dua kelaran tersebut. Gumpalan tanah dikepal pada kikisan yang telah disapu dengan hormon penggalak akar, sebelum dibungkus kemas dengan plastik dan diikat pada kedua-dua hujungnya. Selepas akar baharu tumbuh, batang bawah boleh dipangkas dan sedia untuk proses tumbesaran selanjutnya.

Bagi mendapatkan penerangan yang lebih jelas berserta perincian gambar bagi setiap teknik yang dinyatakan di atas, anda boleh membuat carian di jaringan internet. Teknik-teknik pertanian tersebut bukan sahaja mudah untuk dilakukan, malah barangan yang diperlukan sangat mudah didapati tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak. Ayuh berbudi pada tanah, hasilnya pasti menggembirakan anda! 

Disediakan oleh:

Dr. Mohamad Zulfazli Mohd Sobri
Ph.D., University of Manchester, United Kingdom
Expertise: Plant Sciences, Molecular Biology, Biotechnology
 +603-8946 8066
 zulfazli@upm.edu.my

Updated:: 18/09/2017 [hirfarizan]

MEDIA SHARING

FACULTY OF BIOTECHNOLOGY AND BIOMOLECULAR SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389471047
0389467590
C1506268331