Universiti Putra Malaysia (UPM) diwakili oleh Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul dan Chulalongkorn University, Thailand diwakili oleh Fakulti Sains telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) untuk menggalakkan pertukaran akademik antara kedua-dua fakulti.
Untuk majlis itu, UPM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), YBhg. Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Samsudin, manakala Chulalongkorn University telah diwakili oleh Prof. Madya Dr. Polkit Sangvanich, Dekan, Fakulti Sains. Majlis menandatangani MoA telah diadakan pada hari Rabu, 17 Ogos 2016 di Bilik Tetamu, Pejabat Naib Canselor, Bangunan Pentadbiran, UPM.
MoA merangkumi pertukaran kakitangan akademik dan pelajar termasuk pelajar bacelor dan pasca siswazah, pembangunan program pengajian di luar negara, penyeliaan bersama untuk pelajar pasca siswazah dan faedah-faedah lain.
MoA juga bertujuan untuk memulakan jaringan antara penyelidik dari kedua-dua universiti terutama dalam bidang berkaitan bioteknologi ke arah memantapkan penyelidikan bersama. Sebagai salah satu universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia, UPM sentiasa memberikan keutamaan dalam mengenal pasti penyelidik pada masa hadapan bagi membangunkan dan mempromosikan penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi.
Bersempena dengan majlis menandatangani MoA, satu seminar bertajuk "Workshop on Biotechnology of Biomass Utilization for ASEAN Development" telah diadakan pada 16 Ogos 2016 di Biotech 1, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM. Lapan penyelidik dari UPM dan lapan penyelidik dari Chulalongkorn University telah dijemput sebagai penceramah jemputan untuk seminar tersebut.
Utusan Malaysia, 18 Ogos 2016
Harian Metro, 18 Ogos 2016
Tarikh Input: | Kemaskini: | ahmadazlan
Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia